Maker (MKR) ialah matawang kripto penting dalam ruang decentralised finance (DeFi). Maker memainkan peranan kritikal dalam salah satu aplikasi DeFi terawal yang diterima oleh sejumlah besar pengguna. Mari kita lihat dengan lebih mendalam mengenai Maker dan peranannya dalam membentuk masa depan kewangan.
Nota
Jangan hantar token SKY (atau USDS) ke dompet Maker Luno. Walaupun MakerDAO telah dijenamakan semula kepada Sky, dompet Maker di aplikasi Luno anda hanya menyokong matawang kripto MKR sahaja.
Ekosistem Maker
Sebelum kita menyelami lebih dalam mengenai MKR, penting untuk anda mengetahui beberapa konsep utama serta terma yang digunakan pada aset kripto ini.
Sky (dahulunya dikenali sebagai MakerDAO), ialah Organisasi Desentralisasi Automatik (DAO) yang menguruskan projek sumber terbuka Maker. Tidak seperti organisasi biasa, DAO tidak mempunyai penguatkuasa pusat yang menguruskan projek ini. Sebaliknya, semua keputusan dan perubahan diundi oleh peserta yang memiliki token MKR.
Sky ialah entiti yang bertanggungjawab untuk mentadbir Protokol Maker, satu projek yang dijalankan pada rantaian blok Ethereum.
Protokol Maker membolehkan pengguna untuk menjana DAI, stablecoin yang ditambat ke dolar AS. Tidak seperti stablecoin lain yang bergantung pada rizab berpusat, DAI mencapai kestabilan tambatan melalui mekanisme desentralisasi yang melibatkan posisi-posisi cagaran.
Bagaimana protokol Maker berfungsi?
Pengguna akan mengunci aset-aset kripto mereka, biasanya Ethereum (ETH) dalam bentuk kontrak pintar yang dikenali sebagai Posisi Hutang Dicagarkan (CDP). Sebaik sahaja aset-aset pengguna dikunci dalam CDP, mereka boleh menjana DAI - stablecoin bagi Maker, selari dengan nilai kripto yang dikunci.
Untuk mendapatkan semula akses kripto yang dikunci, pengguna perlu membayar semula DAI yang telah dijana bersama caj stabiliti. Caj ini ditentukan melalui proses tadbir urus dan ia juga menyumbang terhadap pengekalan tambatan DAI terhadap dolar AS.
Asasnya, kaedah ini adalah kaedah desentralisasi untuk membuat pinjaman. Pengguna memberikan kripto milik mereka sebagai cagaran terhadap DAI, dan perlu membayar semula pinjaman mereka beserta “faedah” (caj stabiliti) untuk mendapatkan cagaran mereka semula. Semua ini dilakukan tanpa melibatkan pihak berpusat untuk menetapkan syarat-syarat pinjaman.
Walaupun protokol Maker digunakan untuk menjana DAI, token MKR bukan stablecoin.
Peranan Token MKR
Matawang kripto Maker (MKR) berfungsi sebagai token tadbir urus dalam ekosistem Maker. Peserta yang memegang MKR mempunyai kuasa undi untuk membuat keputusan terhadap sebarang perubahan yang dilaksanakan pada fungsi protokol Maker. Kuasa undi berdasarkan jumlah MKR yang dipegang.
MKR juga mempunyai peranan penting dalam pengurusan risiko Maker. Jika cagaran DAI kurang, token MKR baharu akan dicipta dan dijual untuk menampung defisit yang terjadi. Ini bukan sahaja memastikan kestabilan DAI, malah ia juga menjadi insentif bagi pemegang MKR untuk berhati-hati apabila mencipta token MKR baharu kerana tindakan ini akan memberi kesan terhadap nilai dan jumlah token sedia ada.
Penjenamaan MakerDAO kepada Sky
Pada Ogos 2024, MakerDAO mengumumkan penukaran nama dan melancarkan dua token baharu. MakerDAO kini dikenali sebagai Sky, dengan token tadbir urus baharu, SKY. Selain itu, Sky juga melancarkan stablecoin baharu yang dipanggil Sky Dollar (USDS). Baca lagi artikel mengenai penamaan semula MakerDAO serta token-token terbaru di CoinDesk.
Beberapa perkara utama yang anda perlu maklum:
- Luno hanya menyokong token MKR dan tidak menyokong SKY atau USDS. Jangan hantar SKY atau USDS ke Luno.
- Token Maker (MKR) tetap kekal tidak berubah dan akan terus wujud dalam edaran.
- MKR milik anda tidak akan ditukar kepada SKY secara automatik.
- Anda tidak perlu membuat apa-apa dan boleh menggunakan MKR seperti biasa. Jika anda ingin menukar MKR kepada SKY, anda perlu memindahkan token MKR anda keluar dari dompet Luno dan membuat proses tukaran sendiri.
Note
Di Luno, anda hanya membeli, menjual, menghantar atau menerima MKR sama seperti koin-koin lain yang disokong oleh kami. Aset-aset yang dipegang dalam dompet Luno anda tidak terlibat dalam fungsi protokol Maker, seperti CDP, penjanaan DAI atau tadbir urus protokol. Jika anda ingin menyertai perkara di atas, lawati laman web Sky untuk lebih maklumat.
Tip
Ingin meneroka Maker lebih lagi? Ketahui asas-asas MKR dan dapatkan berita terbaru mengenai matawang kripto di Luno Discover.
Mahu belajar lebih lagi mengenai cara-cara untuk membeli, menjual, menerima atau menghantar MKR? Dapatkan jawapannya melalui artikel pusat bantuan kami: