Terakhir dikemaskini: 1 Jun 2023
1. PENERIMAAN SYARAT
Terma dan Syarat berikut ("Syarat" ini) terpakai, sebagai tambahan kepada Syarat Penggunaan Luno, kepada mana-mana orang yang menggunakan perkhidmatan fungsi Stake Luno ("Perkhidmatan Fungsi Stake"), melalui Luno.com atau mana-mana aplikasi mudah alih, laman web, atau API yang berkaitan (kesemuanya, "Laman Luno"). Penggunaan istilah yang ditafsirkan tetapi tidak ditafsirkan secara khusus dalam Syarat ini membawa maksud yang diberikan kepadanya dalam Syarat Penggunaan Luno.
Syarat ini adalah tambahan kepada, dan oleh itu menjadi sebahagian daripada, Syarat Penggunaan tersebut. Syarat ini membentuk perjanjian yang mengikat secara sah antara anda dan entiti Luno yang telah anda kontrak dengan di bawah Syarat Penggunaan Luno. Jika sesuatu perkara tidak diperuntukkan secara khusus dalam Syarat ini, perkara tersebut akan dikawal selia oleh Syarat Penggunaan. Jika terdapatnya mana-mana percanggahan antara Syarat ini dan Syarat Penggunaan, peruntukan dalam Syarat ini akan terpakai. Pengulangan peruntukan tertentu dalam Syarat ini tanpa mengulangi semua peruntukan dalam Syarat Penggunaan adalah untuk penekanan sahaja dan tidak boleh ditafsirkan bahawa peruntukan Syarat Penggunaan yang tidak dimasukkan adalah tidak terpakai.
Untuk tujuan Syarat ini, sebarang rujukan kepada "kami", "Luno" dan/atau mana-mana istilah yang serupa akan ditafsirkan sebagai rujukan kepada entiti Luno yang anda kontrak dengan.
Dengan menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake Luno, anda menerima Syarat ini tanpa had dan bersetuju untuk mematuhi dan bertindak menurutnya. Anda juga menerima dan bersetuju bahawa anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk memahami dan mematuhi semua undang-undang, peraturan, kawal selia dan keperluan bidang kuasa di mana anda tinggal yang mungkin terpakai pada penggunaan Perkhidmatan Fungsi Stake Luno oleh anda, termasuklah namun tidak terhad kepada, apa-apa yang berkaitan kepada cukai, aktiviti eksport atau import, atau transaksi mata wang asing.
Sila baca Syarat ini dengan teliti sebelum menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut kerana ia melibatkan hak dan kewajipan anda di sisi undang-undang.
2. PINDAAN SYARAT
Luno boleh meminda Syarat ini daripada masa ke semasa. Anda harus melawat laman web Luno secara kerap untuk menyemak bila Syarat ini dikemaskini dan menyemak Syarat semasa. Kami akan dengan sebaik mungkin memaklumkan anda mengenai sebarang pindaan kepada Syarat ini yang kami anggap berkemungkinan menjejaskan hak dan kewajipan anda secara material. Sebarang notis sedemikian akan disiarkan di Laman Luno, atau dihantar melalui e-mel ke alamat e-mel yang dikaitkan dengan Akaun Luno anda.
Penggunaan berterusan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut, selepas sebarang pindaan kepada Syarat ini, merupakan penerimaan anda terhadap Syarat ini, seperti yang diubah suai oleh pindaan tersebut. Jika anda tidak menerima Syarat ini, atau sebarang pindaan kepadanya, anda mesti berhenti menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut dengan segera.
3. PERKHIDMATAN FUNGSI STAKE LUNO
Fungsi Stake adalah proses yang membolehkan anda mengambil bahagian dalam kefungsian protokol rantaian blok dengan menyokong proses pengesahan rangkaian. Bagi membuat Stake, anda dikehendaki menyerahkan mata wang kripto kepada "pengesah" rantaian blok sebagai pertukaran untuk sebahagian token yang baharu dicetak dan/atau fi transaksi daripada pengesah berkaitan.
Apabila anda menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake Luno, anda bersetuju untuk menggunakan infrastruktur dompet Staking Luno dan, dengan berbuat sedemikian, anda mengarahkan Luno untuk menyerahkan mata wang kripto anda kepada pengesah pihak ketiga. Akibatnya, anda akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pengesahan transaksi, tertakluk kepada peraturan protokol yang berkenaan pada setiap masa. Pembekal pihak ketiga akan digunakan berdasarkan aset yang mereka sokong, perlindungan terhadap slashing dan pertimbangan komersial lain. Anda selanjutnya mengarahkan Luno untuk memudahkan mana-mana perkhidmatan sampingan yang diperlukan untuk pelaksanaan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut.
Anda mengakui dan bersetuju bahawa mungkin terdapat kelewatan antara masa anda memilih untuk menjadikan mata wang kripto anda sebagai Stake, dan masa mata wang kripto itu sebenarnya digunakan untuk mengesahkan transaksi rantaian blok, dengan itu memperoleh ganjaran. Ini kerana protokol dan/atau pengesah mungkin memerlukan sejumlah mata wang kripto tertentu diletakkan pada nod, agar nod itu layak untuk mengesahkan transaksi dan oleh kerana itu, setelah stake telah bermula, pengesah akan memasuki baris gilir untuk diaktifkan (dikenali sebagai “Tempoh Warm-Up”). Luno boleh, mengikut budi bicaranya, menawarkan ganjaran kepada pelanggan daripada apungan korporatnya sendiri bagi mata wang kripto yang dijadikan Stake, sebagai langkah sementara semasa Tempoh Warm-Up sedemikian, namun ini hendaklah sentiasa tertakluk kepada ketersediaan dana korporat fungsi Stake yang mencukupi, dan kadar ganjaran mungkin berbeza daripada ganjaran yang diperoleh daripada dana fungsi Stake anda sendiri. Walaupun anda akan mengekalkan pemilikan dana fungsi Stake anda sendiri, anda mengakui bahawa anda tidak mempunyai kepentingan berhubung pemilikan ke atas mana-mana apungan korporat dana fungsi Stake, mahupun ke atas ganjaran Stake berkenaan.
4. PERATURAN PROTOKOL
Memandangkan fungsi Stake adalah ciri yang wujud dalam protokol POS, Luno tidak menentukan peraturan yang mengawal selia cara staking beroperasi pada protokol ini. Dengan menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut, anda menerima dan bersetuju dengan perkara berikut:
- Tempoh terkunci: Sesetengah rangkaian mata wang kripto memerlukan sejumlah aset yang dijadikan Stake dikunci untuk tempoh masa tertentu semasa proses Stake berlaku. Semasa tempoh terkunci ini, anda tidak boleh menjual atau memindahkan mata wang kripto anda. Tambahan pula, anda mengakui bahawa aset kripto sangat tidak menentu dan nilainya boleh berubah, Luno tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian yang anda mengalami akibat turun naik harga mata wang kripto semasa tempoh aset anda terkunci atau akibat pelanjutan tempoh terkunci yang tidak terjangka.
- Tempoh penungguan: Bergantung pada protokol berkenaan, mungkin terdapat peraturan tertentu yang mengehadkan tempoh masa aset yang dijadikan Stake anda boleh menjana ganjaran, yang juga dikenali sebagai Tempoh Warm-Up. Dalam sesetengah kes, pengeluaran aset yang dijadikan Stake mungkin lewat akibat daripada tempoh protokol penarikan Stake atau keadaan rangkaian. Anda mengakui dan bersetuju bahawa ini mungkin menjejaskan tempoh yang diambil untuk memproses pengeluaran mata wang kripto daripada dompet Staking anda.
- Kemaskini protokol: Protokol fungsi Stake secara kadang kala akan menjalani semakan di mana peraturan fungsi Stake mungkin dipinda (cth, tempoh tempoh terkunci mungkin dipinda). Kami akan dengan sebaik mungkin memaklumkan anda mengenai sebarang pindaan ketara dan cara ia memberi kesan kepada anda, tetapi ini mungkin tidak selalunya dapat dilakukan. Pindaan ini mungkin menjejaskan pendapatan pembayaran fungsi Stake atau mengubah kitaran pembayaran buat sementara waktu.
- Slashing: Sesetengah rangkaian mata wang kripto menundukkan aset yang dijadikan Stake kepada "slashing" jika pengesah yang mewakili aset tersebut tersilap mengesahkan transaksi.
- Pentadbiran dan Pengundian: Bagi mata wang kripto tertentu, protokol asas menawarkan peserta fungsi Stake peluang mengundi terhadap perkara berkenaan isu pentadbiran pada peringkat protokol. Luno mungkin atau mungkin tidak dapat menyokong pengundian untuk aset tersebut, dan boleh berhenti menyokong pengundian pada bila-bila masa mengikut budi bicaranya.
5. PEMILIKAN MATA WANG KRIPTO YANG DIJADIKAN STAKE
Walaupun kami menggunakan pengesah pihak ketiga untuk menyediakan Perkhidmatan Fungsi Stake, mata wang kripto anda yang dijadikan Stake tidak dipindahkan kepada pihak ketiga. Luno akan terus memegang aset kripto berkenaan bagi pihak anda dan anda kekal sebagai pemilik benefisial bagi mata wang kripto anda menurut Syarat Penggunaan kami.
6. PENALTI BERHUBUNG SLASHING
Tindakan atau peninggalan tertentu oleh pembekal pengesah kami boleh menyebabkan penalti berhubung slashing dikenakan oleh protokol rangkaian yang berkenaan kepada mata wang kripto yang dijadikan Stake. Ini boleh disebabkan oleh lanjutan masa hentian atau aktiviti berniat jahat atau peristiwa yang menjejaskan keselamatan rangkaian dan boleh mengakibatkan kehilangan ganjaran fungsi Stake atau prinsipal aset yang dijadikan Stake. Dengan menggunakan Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut, anda mengakui bahawa anda menyedari risiko ini dan bersetuju bahawa Luno atau pembekal pengesah tidak bertanggungjawab terhadap sebarang penalti berhubung slashing yang mungkin anda tanggung.
7. PEMBAYARAN GANJARAN FUNGSI STAKE
Jika pembekal pihak ketiga kami berjaya mengesahkan dengan menggunakan mata wang kripto anda yang dijadikan Stake, ganjaran mungkin diberikan oleh rangkaian atau pengesah pihak ketiga. Ganjaran tersebut akan ditentukan oleh protokol. Anda mengakui dan bersetuju bahawa kuantum ganjaran fungsi Stake anda secara tepat, dan sebarang pembayaran berkaitan, akan ditentukan oleh protokol rangkaian yang berkenaan, pengesah pihak ketiga atau kami, terhadap jumlah mata wang kripto yang dijadikan Stake. Luno akan menggunakan usaha yang munasabah secara komersial untuk stake pembayaran anda secara semula bagi pihak anda. Ganjaran akan dikreditkan ke dalam dompet anda dengan mengambil kira jumlah prinsipal anda dan pembayaran yang terakru sebelum ini yang masih kekal sebagai fungsi Stake dengan Luno. Luno akan mengkreditkan dompet Staking anda dengan sebarang ganjaran yang diperolehi selepas diterima oleh Luno, selepas menolak fi yang berkenaan.
8. FI
Anda mengakui dan bersetuju bahawa, sebagai pertimbangan untuk membangunkan dan menyediakan Perkhidmatan Fungsi Stake untuk anda, Luno akan memperolehi fi yang perlu dibayar oleh anda. Fi dan kos djelaskan pada halaman Fi laman web Luno. Luno berhak untuk meminda fi dan kos kami pada bila-bila masa dan akan mengemas kini halaman Fi sewajarnya. Luno boleh meminda kadar tersebut mengikut budi bicaranya dan tanpa notis rasmi kepada anda. Luno juga mungkin menawarkan fi yang lebih rendah bagi mata wang kripto tertentu atas dasar promosi, dan komisen promosi berkenaan mungkin berbeza antara kalangan pengguna Luno mengikut budi bicara kami.
9. PENGELUARAN
Anda dapat menarik semua Stake atau sebahagian daripada mata wang kripto yang dijadikan Stake anda pada bila-bila masa. Dalam sesetengah kes, pengeluaran aset yang dijadikan Stake mungkin lewat akibat daripada tempoh protokol penarikan Stake atau keadaan rangkaian. Tambahan pula, anda mengakui bahawa dana yang belum dijadikan sebagai Stake, tetapi yang berada dalam giliran fungsi Stake juga tertakluk pada tempoh pengeluaran protokol, di mana dana anda tidak akan mengambil bahagian dalam proses pengesahan dan oleh itu tidak dapat memperoleh ganjaran fungsi Stake.
10. KETERSEDIAAN PERKHIDMATAN
Walaupun kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk menyediakan operasi berterusan, Luno tidak memberi sebarang waranti atau jaminan berhubung dengan ketersediaan Perkhidmatan Fungsi Stake. Tanpa mengehadkan keluasan perkara di atas, kami tidak menjamin akses berterusan ke Laman Luno atau Perkhidmatan Fungsi Stake, dan tidak membuat pernyataan bahawa Laman Luno, API Luno, Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake yang ditawarkan di dalamnya akan tersedia tanpa gangguan; atau bahawa tidak akan ada kelewatan, kegagalan, kesilapan, peninggalan atau kehilangan maklumat yang dihantar.
11. PENOLAKAN DAN PEMBATASAN LIABILITI
Perkhidmatan Fungsi Stake dan apa-apa produk atau perkhidmatan berkaitan ditawarkan atas dasar "seadanya" dan "di mana tersedia" dan Luno dengan nyata menolak, dan anda mengetepikan, semua waranti pelbagai jenis, sama ada nyata atau tersirat. Tanpa mengehadkan keluasan perkara di atas, Perkhidmatan Fungsi Stake dan sebarang produk atau perkhidmatan yang berkaitan ditawarkan tanpa sebarang waranti tentang kebolehdagangan atau kesesuaian untuk sebarang tujuan tertentu.
Anda mengakui dan bersetuju bahawa penggunaan Perkhidmatan Fungsi Stake adalah atas risiko anda sendiri. Setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, Luno, anggota gabungan dan anak syarikatnya, pemberi lesennya, dan pekerja, kontraktor, ejen, pembekal dan vendor mereka masing-masing tidak akan mempunyai liabiliti atau tanggungjawab apa pun untuk sebarang kehilangan atau kerugian - sama ada secara langsung atau tidak langsung, berbangkit, bersampingan, punitif atau sebaliknya - yang timbul daripada atau berkaitan dengan Perkhidmatan Fungsi Stake atau sebarang data atau nilai yang berkaitan dengannya, sama ada berpunca daripada kecuaian atau sebaliknya. Tanpa mengehadkan mana-mana perkara di atas, Luno tidak akan mempunyai apa-apa liabiliti untuk sebarang kehilangan keuntungan atau kerugian punitif, khas atau berbangkit secara tidak langsung, walaupun dimaklumkan tentang kemungkinannya.
Batasan liabiliti di atas akan terpakai setakat yang dibenarkan oleh undang-undang dalam bidang kuasa yang berkenaan. Oleh kerana sesetengah bidang kuasa tidak membenarkan pengecualian waranti tertentu atau batasan atau pengecualian liabiliti untuk kerugian bersampingan atau berbangkit, sebahagian batasan dalam bahagian ini mungkin tidak terpakai kepada anda.
12. SEKATAN, PENGGANTUNGAN DAN PENAMATAN
Luno berhak untuk menyekat, menggantung atau menamatkan Perkhidmatan Fungsi Stake tanpa notis di mana:
- semunasabahnya kami mengesyaki Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut menjadi subjek kepada kesalahan operasi atau yang lain-lain, dan dalam hal ini kami mungkin dikehendaki menggantung Perkhidmatan Fungsi Stake atau akses kepada akaun anda sehingga masa kesalahan itu dibetulkan;
- kami secara munasabah mengesyaki Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut telah atau sedang digunakan berkaitan dengan mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang, penipuan atau Aktiviti Terlarang, atau melanggar Syarat ini atau Syarat Penggunaan;
- kami secara munasabah mengesyaki anda atau Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut dikaitkan dengan, atau menimbulkan risiko tinggi, pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, penipuan, atau sebarang jenayah kewangan lain;
- kami secara munasabah mengesyaki penglibatan anda dalam sebarang percubaan untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada mana-mana Akaun Luno dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut;
- Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake yang Luno tawarkan adalah, atau nampaknya tertakluk kepada mana-mana proses undang-undang, kawal selia atau kerajaan dan/atau kami, mengikut budi bicara mutlak kami, menganggap terdapat peningkatan risiko ketidakpatuhan undang-undang atau pengawalseliaan;
- kami terpaksa berbuat demikian melalui sepina, perintah mahkamah atau perintah mengikat oleh kerajaan atau pihak pengawalseliaan yang prima facie sah; atau
- nama anda muncul dalam senarai sekatan kerajaan atau badan antarabangsa.
Luno akan melakukan segala usaha yang munasabah untuk memberi anda notis tentang sebarang keputusan untuk menyekat, menggantung atau menamatkan Akaun Luno anda dan/atau Perkhidmatan Fungsi Stake yang ditawarkan oleh Luno, melainkan kami dihalang daripada berbuat demikian oleh sebarang proses atau keperluan undang-undang atau pengawalseliaan, atau jika berbuat demikian boleh menjejaskan keselamatan Luno dan/atau prosedur pengurusan risiko. Anda menerima dan bersetuju bahawa Luno tidak mempunyai kewajipan untuk mendedahkan kepada anda fakta atau alasan bagi sebarang keputusan untuk menyekat, menggantung atau menamatkan Akaun Luno anda atau Perkhidmatan Fungsi Stake tersebut, dan tidak akan mempunyai liabilti kepada anda berkaitan dengan sekatan, penggantungan atau penamatan Akaun Luno anda.