Hedera Hashgraph atau dikenali sebagai Hedera menawarkan platform berskala besar dan selamat untuk aplikasi terdesentralisasi. Hedera menggunakan cara unik untuk mengatur maklumat yang serupa dengan rantaian blok tetapi berbeza dalam beberapa aspek penting, yang menurut pengasasnya meningkatkan kebolehskalaan, kelajuan dan kecekapan. Mereka mendakwa teknologi ini sesuai digunakan dalam pelbagai industri seperti penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan, pengurusan rantaian bekalan dan kewangan terdesentralisasi (DeFi).
Nota
Luno buat masa ini tidak menyokong penghantaran atau penerimaan HBAR, tetapi anda masih boleh membeli atau menjualnya seperti mana-mana mata wang kripto lain yang kami tawarkan. Keputusan ini dibuat bagi memastikan terdapat kawalan yang sesuai untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam perlindungan pelabur. Ketahui lebih lanjut tentang mengapa anda tidak boleh menghantar atau menerima HBAR.
Siapa yang mencipta Hedera?
Hedera diasaskan oleh dua ahli teknologi Amerika, Leemon Baird dan Mance Harmon pada 2017. Dalam masa yang sama, mereka turut menubuhkan Swirl Labs, syarikat yang membangunkan teknologi asas Hedera. Memiliki latar belakang yang luas dalam teknologi dan pembangunan perisian, kedua-dua pengasas ini mempunyai kepakaran mendalam dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan, pertahanan dan identiti.
Bagaimana Hedera berfungsi?
Protokol Hashgraph Gossip
Hedera menggunakan teknologi unik yang dikenali sebagai ‘directed acyclic graph’ (DAG). Dalam struktur ini, rangkaian komputer (node) beroperasi secara serentak untuk membolehkan sambungan antara satu sama lain disahkan pada masa yang sama. Ia berbeza dengan rantaian blok tradisional yang mempunyai satu rantaian blok yang linear dan berurutan.
Bayangkan rantaian blok tradisional seperti barisan panjang orang yang menunggu untuk membeli tiket konsert. Setiap orang mewakili satu transaksi dan perlu menunggu giliran sebelum tiket mereka disahkan. Setelah transaksi itu selesai, barulah tiba giliran orang seterusnya. Proses ini berlaku satu demi satu secara berurutan. Sebaliknya, DAG boleh diumpamakan seperti sekumpulan orang yang duduk di sekeliling meja, saling bertukar barangan pada masa yang sama. Setiap orang boleh menerima barangan daripada beberapa orang serentak dan menyerahkannya kepada orang lain tanpa mengikut urutan tertentu. Beginilah cara transaksi dalam DAG – ia boleh berlaku secara serentak dan tidak terikat dengan urutan yang kompleks seperti dalam rantaian blok tradisional.
Rangkaian rantaian blok tradisional sejak dahulu lagi berdepan masalah dalam mencapai keseimbangan antara desentralisasi, keselamatan dan kebolehskalaan. Cabaran ini turut dikenali sebagai “trilema rantaian blok”. Sebagai respons terhadap cabaran ini, Hedera telah membangunkan versi DAG sendiri yang dikenali sebagai Protokol Hashgraph Gossip.
Bukti Pegangan (PoS)
Hedera menggunakan mekanisme konsensus Bukti Pegangan (Proof of Stake, PoS) yang membolehkan pengguna melakukan staking HBAR untuk membantu mengesahkan transaksi dan menerima ganjaran kerana menyumbang kepada keselamatan rangkaian. Berbeza dengan sistem PoS tradisional, mekanisme staking Hedera secara automatik mempertaruhkan keseluruhan baki akaun pengguna tanpa perlu menetapkan amaun HBAR tertentu. Pendekatan ini mengelakkan keperluan untuk mengunci token atau berdepan risiko pemotongan sebagai penalti.
Apa fungsi Hedera?
Salah satu contoh penggunaan Hedera Hashgraph ialah dalam pengurusan rantaian bekalan.
Dalam pengurusan rantaian bekalan, perniagaan perlu mengawasi pergerakan produk daripada pengeluaran sehinggalah penghantaran kepada pengguna. Dengan rangkaian Hedera yang pantas dan selamat, syarikat boleh mewujudkan rekod yang telus dan sukar diubah bagi setiap peringkat dalam proses tersebut. Rekod ini boleh merangkumi maklumat seperti sumber bahan mentah, proses pengeluaran, butiran pengangkutan dan masa penghantaran. Dengan merekodkan maklumat ini dalam Hedera, syarikat dapat meningkatkan ketelusan, mengurangkan penipuan, meningkatkan kebolehkesanan dan memastikan pematuhan terhadap peraturan. Selain itu, pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan termasuk pengilang, pengedar, peruncit dan pengguna boleh mengakses data masa nyata, sekali gus membantu membuat keputusan yang lebih baik dan meningkatkan kepercayaan dalam ekosistem rantaian bekalan.
Apa mata wang kripto utama Hedera?
Mata wang kripto utama Hedera dikenali sebagai HBAR, singkatan bagi Hedera Hashgraph Token. HBAR digunakan untuk membayar perkhidmatan rangkaian seperti yuran transaksi dan pelaksanaan kontrak pintar. Selain itu, HBAR juga boleh digunakan untuk staking, membolehkan pemegangnya mengambil bahagian dalam mekanisme konsensus rangkaian serta memperoleh ganjaran dengan mengesahkan transaksi. Pemegang HBAR juga boleh mengundi bagi cadangan dan mempengaruhi keputusan berkaitan peningkatan dan perubahan rangkaian.
Tip
Mahu belajar lagi tentang Hedara? Belajar lagi tentang asas HBAR dan dapatkan semua berita terbaru mengenai matawang kripto di Luno Discover.
Mahu mengetahui bagaimana untuk beli atau jual HBAR? Kami ada jawapannya di sini:
Maklumat di atas tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan, percukaian, undang-undang, pelaburan atau lain-lain; atau dianggap sebagai isyarat untuk berdagang. Maklumat ini dianggap sebagai komentari pasaran am dan untuk tujuan maklumat sahaja. Sila rujuk Penasihat Kewangan bertauliah sebelum membuat sebarang keputusan atau membuat sebarang tindakan terhadap kewangan anda.