Masalah yang sering dihadapi oleh matawang-matawang kripto popular (seperti Bitcoin dan Ethereum) adalah caj transaksi. Mengapa ianya berlaku dan apa yang anda boleh lakukan mengenainya?
Apakah punca kenaikan caj kripto?
Transaksi rantaian blok diproses oleh nod-nod rangkaian yang bekerjasama untuk mengesahkan setiap transaksi. Nod-nod ini diberikan ganjaran apabila memproses transaksi. Ganjaran yang diterima adalah melalui caj yang dikenakan pada setiap transaksi yang diproses. Apabila terdapat lebih banyak transaksi pada rangkaian, caj akan meningkat disebabkan oleh pengguna perlu bersaing untuk mendapatkan transaksi mereka diproses dengan lebih cepat.
Peningkatan aktiviti transaksi ini biasanya disebabkan apabila harga matawang kripto tersebut meningkat dengan cepat. Lebih ramai pengguna mahu menggerakkan dana mereka dalam tempoh ini, dan menyebabkan kenaikan jumlah transaksi serta caj.
Jika terdapat banyak desas-desus mengenai projek rantaian blok tertentu, ramai pengguna mungkin akan cuba untuk menyertai ekosistem projek tersebut dan ini akan menyebabkan kenaikan caj, hasil daripada persaingan ramai pengguna untuk membuat transaksi. Sebagai contoh, caj yang dikenakan pada transaksi Bitcoin menaik pada Mei 2023 kesan daripada populariti BRC-20; sebuah protokol berasaskan Bitcoin baru.
Ringkasnya, apa-apa sahaja perkara yang menyebabkan kenaikan jumlah pengguna pengguna untuk membuat transaksi pada rantaian blok akan menyebabkan kenaikan terhadap caj penghantaran kripto.
Caj dinamik Luno untuk menghantar kripto dibina untuk memberikan harga kompetitif dengan caj rantaian blok terkini. Oleh itu, apabila caj meningkat, caj yang dikenakan pada anda untuk mengantar kripto akan turut meningkat. Jika caj yang dikenakan terlalu rendah, transaksi anda boleh tersekat pada nod rantaian blok sehinggalah ia mengesahkan transaksi-transaksi lain terlebih dahulu kerana mereka membayar caj yang lebih tinggi.
Nota
Caj rantaian blok adalah berdasarkan jumlah permintaan rantaian blok tersebut. Caj ini tidak ditetapkan dan tidak dikawal oleh Luno.
Anda akan sentiasa dipaparkan dengan caj yang dikenakan sebelum mengesahkan sama ada anda ingin meneruskan transaksi tersebut.
Apa yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan caj yang tinggi apabila menghantar kripto?
Salah satu cara yang mudah ialah menunggu caj tersebut menurun sebelum anda membuat penghantaran. Mungkin cara ini tidak sesuai jika anda ingin menghantar kripto dengan cepat tetapi ia merupakan strategi yang baik jika anda boleh menunggu. Caj juga akan menurun sedikit ketika tempoh “off-peak”, sebagai contoh, apabila penduduk Amerika Syarikat sedang tidur.
Jika anda menghantar kripto ke bursa lain, adalah lebih berbaloi untuk menjual kripto anda pada Luno bagi matawang-matawang kripto yang biasanya mempunyai caj penghantaran rendah seperti Litecoin atau Ripple. Kemudian, anda boleh tukar ke kripto pilihan anda pada bursa lain. Pastinya anda perlu membayar caj untuk jual beli, namun ia mungkin lebih murah daripada caj penghantaran yang kadang-kala terlalu tinggi.
Akhir sekali, penghantaran satu transaksi yang besar adalah lebih kos efektif berbanding penghantaran beberapa transaksi kecil. Caj penghantaran dikira berdasarkan aktiviti pada rantaian blok, dan bukan berdasarkan jumlah kripto yang dihantar. Oleh itu, anda masih akan dikenakan caj yang sama bagi transaksi kecil dan transaksi besar.